Cristiano Ronaldo kelihatan tidak berpuas hati ketika digantikan dalam kekalahan Portugal kepada Korea Selatan, walaupun dia menyatakan ia lebih menjurus kepada tindakan lawan berbanding keputusan Fernando Santos.

Ronaldo direhatkan pada minit ke-65 dan digantikan oleh Andre Silva ketika di kedudukan 1-1 dalam perlawanan akhir Kumpulan H, Piala Dunia di Qatar awal pagi tadi.

Hwang Hee-chan menjamin kemenangan 2-1 Korea Selatan menerusi masa kecederaan dan secara tidak langsung menemani Portugal ke pusingan 16.

Lantas, bekas bintang Manchester United serta Real Madrid itu menggesa rakan sepasukannya supaya belajar daripada prestasi buruk mereka berkenaan.

Dia menjelaskan mengenai reaksinya ketika meninggalkan padang: "Apa yang berlaku ketika menuju ke tepi padang, seorang pemain Korea menyuruh saya agar segera keluar. Saya menyuruhnya supaya diam.

"Dia bukannya pegawai perlawanan jadi dia tidak perlu memberikan pendapat, cukuplah sekadar mempercepatkan langkah andai dia bertindak sebagai pengadil. Tetapi tidak perlu ada sebarang kontroversi.



"Ia didorong oleh bahang permainan. Walau apa pun yang berlaku, semuanya itu kekal di atas padang. Kami perlu bersatu, kami perlu berada di fasa seterusnya. Semua Portugis perlu yakin kerana kami benar-benar mahu maju.

"Kami tahu kami sudah layak, hanya keajaiban akan menghalang kemaraan kami. Tetapi saya tidak mahu membenarkan diri saya tenggelam dengan faktor itu.

"Kami perlu ambil pengajaran ini ketika kami tidak memberikan persembahan yang baik. Saya harap kami dapat belajar daripada kekalahan ini dan kami perlu memenangi perlawanan seterusnya."