Cody Gakpo berkata segalanya boleh terjadi berhubung masa depannya di PSV selepas mempamerkan prestasi cemerlang bersama Belanda dalam Piala Dunia di Qatar.

Pemain berusia 23 tahun itu telah menyumbangkan gol dalam kedua-dua perlawanan pembukaan negaranya -– kemenangan 2-0 ke atas Senegal diikuti dengan keputusan seri 1-1 dengan Ecuador -– untuk skuad Oranje menghuni tangga teratas Kumpulan A dengan baki satu perlawanan.

Baru-baru ini dia sempat mendedahkan kekecewaannya berikutan terlepas perpindahan ke Manchester United sementara turut dikaitkan ke Liverpool, Real Madrid dan Bayern Munich.

Walaupun tumpuan utama Gakpo adalah untuk membantu Belanda mara jauh ke Piala Dunia, dia tidak menolak untuk meninggalkan PSV apabila jendela perpindahan Januari dibuka.

"Ketika ini saya sibuk dengan pasukan Belanda. Saya akan lihat apa yang berlaku pada musim sejuk. Dalam bola sepak, apa sahaja boleh dilakukan," katanya dalam sidang media awal pagi tadi.




"Saya tidak malu dengan khabar angin itu tetapi ini adalah sukan berpasukan, ia bukan tentang seorang individu. Saya lebih gemar (bercakap) berkaitan berpasukan.

"Ia adalah satu berita bagus tetapi saya tidak terlalu khuatir mengenainya. Fokus saya ketika ini adalah Piala Dunia.

"Fokus saya hanya di sini dan saya mahu memberikan persembahan yang terbaik."