Casemiro menegaskan kepentingan untuk Brazil kekal rendah diri selepas dilabel sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia Qatar 2022 bulan depan.

Kali terakhir Brazil menjulang trofi paling berprestij itu adalah pada 20 tahun lalu, di mana Ronaldo Nazario meledakkan lapan gol buat pasukan bimbingan Luiz Filpe Scolari berkenaan dalam edisi di Jepun dan Korea Selatan.

Bagaimanapun, Brazil, yang kini dikendalikan Tite, dijangka akan menamatkan kemarau itu tahun ini, di mana Selecao ketika ini sedang menduduki tangga teratas ranking dunia menjelang festival bola sepak terbesar berkenaan dengan barisan pemain bintang seperti Neymar dan vinicius Junior juga sedang melalui tempoh cemerlang bersama kelab masing-masing.

Bercakap kepada saluran media Manchester United, Casemiro berkata: "Terdapat dua perspektif mengenainya. Bukan rahsia bahawa Brazil merupakan pasukan pilihan tetapi pasukan pilihan tidak selalunya menang, pasukan pilihan tidak selalunya menjadi juara.

"Kami sedar terdapat pasukan kebangsaan lain yang turut melakukannya dengan baik, mereka juga pasukan pilihan. Bola sepak pada ketika ini sudah membuktikannya. Kami sedar ada pasukan lain yang beraksi dengan amat baik.

"Kami sedar kami sedang memikul tanggungjawab, kami sedar kami perlu menghormati setiap lawan yang akan kami hadapi.

"Ia tidak dapat dielakkan apabila kita bercakap mengenai Brazil tetapi kami perlu melakukannya dengan rendah diri dan menghormati lawan kami," katanya.