Andre Onana digantung oleh Cameroon atas sebab disiplin berikutan tindakan tegas jurulatih, Rigobert Song, yang mengetepikan penjaga gol itu ketika menentang Serbia.

Devis Epassy mendapat kepercayaan sebagai benteng terakhir ketika Cameroon seri 3-3 dalam perlawanan Piala Dunia di Qatar yang mendebarkan malam tadi.

Dan laporan yang menyatakan ketiadaan Onana itu didorong oleh perselisihan faham dengan Song mengenai gaya permainan pemain berusia 26 tahun tersebut ketika bertemu Switzerland.

Song selepas perlawanan menjelaskan bahawa dia berasakan dia perlu "mengambil tindakan tegas" dan kepada mereka yang enggan mengikut arahannya boleh berdepan hukuman.

Persekutuan Bola Sepak Cameroon (FECAFOOT) kemudiannya mengesahkan khidmat penjaga gol Inter itu telah digantung untuk tempoh yang belum ditentukan.

"Berikutan keputusan Rigobert Song, Andre Onana telah digantung sementara daripada kumpulan atas sebab disiplin," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu.

“Persekutuan Bola Sepak Cameron mengulangi sokongan penuh kepada ketua jurulatih dan seluruh kakitangannya tatkala mereka melaksanakan dasar persekutuan bagi bertujuan membentuk disiplin, perpaduan, saling melengkapi dan keharmonian dalam pasukan kebangsaan.

"FECAFOOT akan meneruskan komitmen untuk mewujudkan suasana aman dalam pasukan termasuk persediaaan mereka menerusi kemudahan yang mencukupi demi menampilkan prestasi cemerlang."




Ketika menentang Switzerland, Onana membuat sentuhan terbanyak di luar kotak penalti iaitu 26 kali oleh mana-mana penjaga gol dalam perlawanan Piala Dunia sejak 1966.

Epassy pula menawarkan pendekatan yang lebih tradisional seperti yang diharapkan Song ketika menentang Serbia, dan penjaga gol sandaran kedua itu membalas kepercayaan yang diberikan dengan melakukan dua penyelamatan selain 18 hantaran, tetapi dia patut lebih tangkas untuk menafikan jaringan Sergej Milinkovic-Savic pada masa kecederaan separuh masa pertama.




Insiden Onana itu telah membayangi prestasi sebenar Cameroon yang dituntut untuk bangkit daripada ketinggalan 1-3 walaupun ia menjejaskan harapan kedua-dua pasukan untuk melepasi peringkat Kumpulan G.

Cameroon akan berdepan Brazil dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Jumaat ini, tatkala dua mata di belakang Switzerland yang menguasai di tempat kedua.