CAMEROON 3 SERBIA 3

Cameroon bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Serbia 3-3 di Stadium Al Janoub sebentar tadi, sekali gus menghidupkan sisa-sisa peluang kedua-dua pasukan itu untuk layak ke pusingan 16 Piala Dunia Qatar 2022.

The Indomitable Lions -- yang penjaga gol utamanya, Andre Onana, dilaporkan sedang pulang ke rumahnya kerana pertelingkahan dengan jurulatih, Rigobert Song -- terlebih dahulu berada di depan menerusi sentuhan Jean-Charles Castelletto pada minit ke-29.

Bagaimanapun, Serbia memastikan mereka ke bilik persalinan sebagai pasukan yang lebih unggul hasil dua jaringan pantas dalam waktu kecederaan separuh masa pertama yang dihasilkan Strahinja Pavlovic dan Sergej Milinkovic-Savic, masing-masing pada minit ke-46 dan 48.

Lapan minit selepas perlawanan bersambung, Aleksandar Mitrovic menambah derita Cameroon dengan menolak masuk lintangan Andrija Zivkovic bagi memberikan kelebihan dua gol buat Serbia.

Ketika pasukan bimbingan Dragan Stojkovic itu kelihatan akan memperoleh tiga mata pertama dalam kempen edisi ini, Cameroon ternyata bukan pasukan yang mudah mengalah dan mula merancanakan kebangkitan mereka sebelum berhasil memperoleh dua jaringan dalam masa dua minit.

Pemain gantian, Vincent Aboubakar, merapatkan jurang jaringan itu pada minit ke-64 menerusi satu lambungan yang menewaskan penjaga gol, Vanja Milinkovic-Savic, di mana jaringan itu disahkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Dua minit berselang, Aboubakar sekali lagi memainkan peranan penting dalam memastikan kebangkitan pasukannya, kali ini menerusi sepakan lintangnya yang kemudian disudahkan Eric Maxim Choupo-Moting.

Kedua-dua pasukan itu, bagaimapun, kekal di tangga terbawah selepas masing-masing meraih satu mata daripada dua perlawanan.