Sergio Busquets menafikan tanggapan bahawa Sepanyol berasa lega dapat mengelak potensi awal bertemu Brazil dalam pusingan 16, Piala Dunia di Qatar.

La Roja sempat berdepan debaran apabila tumbang 1-2 kepada Jepun tetapi masih mampu melepasi halangan Kumpulan E, awal pagi tadi.

Sepanyol berada di landasan tepat untuk mengungguli Kumpulan E apabila Alvaro Morata memberikan mereka gol pendahuluan awal ke atas Jepun di Stadium Antarabangsa Khalifa, tetapi sentuhan pemusnah Ao Tanaka menyusuli jaringan penyamaan daripada Ritsu Doan dalam tempoh 142 saat, sekali gus mengangkat pasukan Samurai Biru sebagai peneraju kumpulan itu.

Kekalahan itu menyaksikan Sepanyol layak menerusi perbezaan gol tatkala Jerman menewaskan Costa Rica 4-2 dalam satu lagi pertembungan yang berlangsung serentak.



Dan buat seketika penyingkiran awal makin membayangi La Roja berikutan pasukan Los Ticos sedang mendahului anak buah Hansi Flick ketika permainan berbaki 20 minit.

Sepanyol kini akan bertemu Maghribi dalam pusingan 16 -- dengan syarat Brazil mengelak kekalahan kepada Cameroon, awal pagi esok, bagi mengelak bertembung dengan pasukan pilihan kejohanan itu sebelum suku akhir.

Bagaimanapun, Busquets menolak andaian adakah kekalahan sebaliknya mewakili hasil yang positif, dia berkata: "Ia tiada kaitan dengannya.

"Kami mahu menang dan menjuarai kumpulan. Kami di kedudukan yang baik tetapi ia tidak menawarkan sebarang jaminan bahawa ia akan menjadi lebih mudah atau lebih sukar.




"Kami tidak mahu ini berlaku, niat kami adalah untuk menang. Untuk meneruskan perjuangan, kami akan berdepan Maghribi dalam pusingan 16.

"Ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat sukar.

"Kami tidak berasa selesa. Mereka menutup hantaran kami dengan baik dan amat sukar untuk kami membuat gerakan dan mencipta ancaman.

"Kami sedar perlawanan boleh bertukar seperti ini, malangnya tentang gol yang dibolosi. Kami perlu teruskan perjuangan, cuba memperbetulkan kesilapan dan mengharungi peringkat kalah mati."