Eden Hazard berpesan kepada pemain Jerman supaya kekal dengan agenda bola sepak dan bukannya membuat bantahan selepas anak buah Hansi Flick itu tumbang mengejut 1-2 kepada Jepun ketika membuka kempen Piala Dunia Qatar 2022, semalam.

Barisan kesebelasan utama Jerman menekup mulut masing-masing sebagai tanda protes ketika gambar berpasukan pra-perlawanan berikutan tindak balas mereka terhadap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan isu OneLove.

Badan induk bola sepak itu memberi amaran kepada mana-mana pasukan yang menyokong inisiatif antidiskriminasi tersebut bakal berdepan hukuman termasuk kad kuning ke atas ketua pasukan yang memakai lilitan lengan pelangi.

Bagaimanapun, Die Mannschaft memanaskan badan ketika menentang Jepun dengan memakai baju latihan yang menampilkan hiasan berwarna pelangi demi memberi sokongan kepada hak LGBTQ+.

Walaupun pendirian pemain Jerman dipuji secara meluas, penyerang Belgium dan Real Madrid, Hazard, pula sebaliknya percaya pemain harus meninggalkan perkara yang bukan dalam bidang bola sepak kepada orang lain.

“Mereka kalah dalam perlawanan itu,” kata Hazard kepada pemberita.




“Adalah lebih baik mereka tidak melakukannya dan menang.

"Kami di sini untuk bermain bola sepak. Saya di sini bukan untuk menyampaikan mesej politik, ada orang yang lebih sesuai untuk itu. Kami mahu menumpukan perhatian kepada bola sepak."

Jerman dan Belgium merupakan dua daripada tujuh pasukan Eropah yang merancang untuk memakai lilitan lengan yang direka khas di Qatar, di mana hubungan sejenis adalah satu jenayah berat.

Ditanya mengenai pendiriannya sendiri mengenai isu itu dan sama ada dia ingin menunjukkan bentuk sokongannya, Hazard berkata: "Saya tidak senang untuk bercakap mengenainya. Saya di sini untuk bermain bola sepak.

"Kami telah dilarang. Saya tidak mahu memulakan perlawanan dengan kad kuning; ia akan menjengkelkan saya sepanjang kejohanan.

"Kalau saya perlu melakukan semula, mungkin saya akan pakai."