Louis van Gaal menolak tanggapan bahawa dia telah memberi tekanan berganda buat skuad Belanda dengan menyasarkan kejayaan trofi Piala Dunia, sebaliknya menjelaskan pemain sendiri yang berbercita-cita tinggi.

Van Gaal tetap berkeyakinan tinggi mengenai peluang skuad Oranje sebelum sepak mula edisi ini dan akan terus berbuat demikian di sebalik prestasi kurang memuaskan ketika menewaskan Senegal dan diikat Ecuador.

Belanda masih perlu mencongak nasib sendiri dalam perlawanan ketiga ketika menentang Qatar untuk menempah tempat ke pusingan 16, tetapi jurulatih itu tidak kesal kerana terlalu terbuka dengan matlamatnya untuk mara perlawanan akhir.

"Saya harap ia bukan satu tekanan sama sekali kerana saya fikir anda sentiasa perlu mengenal pasti matlamat, tujuan anda berada di sini," katanya.

"Kemudian anda boleh berusaha ke arah hasrat itu.

"Jika anda tidak mengenal pasti matlamat anda dengan mengatakan perlawanan suku akhir sudah cukup, ia bukan cara yang tepat untuk melakukan sesuatu. Perkara yang tepat ialah mengatakan anda mahu menjadi juara.

"Saya menyatakannya sebab mengapa kami berkemampuan menjadi juara. Saya tidak mengatakan kami akan menjadi juara, tetapi kami boleh. Pemain percaya dengan itu."

Kepercayaan itu turut ditekankan Frenkie de Jong yang tampil di samping Van Gaal dalam sidang media awal pagi tadi sambil berkata: "Saya rasa kami mempunyai skuad yang sangat baik. Kami telah membuktikannya lebih daripada sekali.




"Kami mengharungi 17 perlawanan tanpa kalah, itu membawa makna. Kami mengutip empat mata, dan kami telah mengatasi dua lawan yang hebat.

"Kami berada di kedudukan yang baik walaupun pada hakikatnya perlawanan terakhir kami tidak beraksi dengan begitu baik.

"Kami banyak berbincang dalam kalangan skuad mengenai apa yang kami mahu lakukan, apa yang mahu diperbaiki.

"Semua orang berkeyakinan penuh jadi terpulang kepada kami untuk membuktikannya kepada anda."