BELANDA 1 ECUADOR 1

Louis van Gaal percaya Belanda harus mempamerkan peningkatan ketara sekiranya mengimpikan gelaran Piala Dunia sambil mengakui Ecuador beraksi jauh lebih baik daripada The Oranje ketika seri 1-1, awal pagi tadi.


Belanda dan Ecuador berkongsi empat mata dalam Kumpulan A selepas Enner Valencia memadam gol pembukaan Cody Gakpo di Stadium Antarabangsa Khalifa, dan keputusan itu secara tidak langsung memastikan tuan rumah, Qatar, tersingkir awal.

Skuad kendalian Van Gaal itu bernasib baik dapat mengekang Ecuador daripada menokok gol sebaik membuka tirai jaringan perlawanan dalam satu-satunya percubaan tepat mereka sebelum rehat.

Belanda kini hanya memerlukan keputusan seri menentang pasukan tercorot, Qatar, Selasa depan untuk mengesahkan slot ke pusingan 16 tetapi Van Gaal percaya anak buahnya perlu beraksi dengan lebih baik lagi memandangkan ujian mendatang pasti makin keras.

“Jika anda mahu menjadi juara dunia, kami memerlukan peningkatan besar kerana kualiti lawan yang belum kami hadapi berada di tahap yang lebih tinggi,” katanya selepas perlawanan.

Sejak edisi 1998, Belanda akan gagal memenangi sebarang perlawanan Piala Dunia selepas membuka jaringan dan badi itu berlanjutan ketika Ecuador melancarkan 15 percubaan sementara hanya dua daripada wakil Eropah berkenaan -– jumlah terendah yang dicatat oleh pasukan Eropah dalam kejohanan tersebut sejak data berkenaan diperkenalkan pada 1966.



Bagaimanapun, The Oranje masih belum tumbang dalam 15 perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia, lantas memberi kelegaan buat Van Gaal bagi mengelak kekalahan mengejut.

“Saya rasa kami tidak beraksi dengan baik,” kata jurulatih itu lagi.

“Kami tidak tampil dengan baik dalam soal penguasaan bola, ia masalah yang sama ketika perlawanan pertama (membenam Senegal 2-0).

"Semua bola kedua, semua perebutan bola menjadi milik Ecuador.

"Kami sedang berusaha untuk menguasai bola dan kami akan terus mengusahakannya. Sama ada kami akan berjaya, saya tidak berani jamin. Tetapi saya fikir kami mempunyai beberapa pilihan di bahagian tengah dan saya perlu mencubanya.

"Kami kehilangan keseimbangan tetapi kami mampu menemuinya. Perkara yang menarik hari ini ialah kami beraksi dalam perlawanan itu dan mengutip satu mata ketika berdepan lawan yang jauh lebih baik, itulah yang saya lihat."