Argentina menuju ke Piala Dunia dengan harapan tinggi untuk terus melakar kegemilangan di peringkat global selepas merampas Copa America tetapi ketua jurulatih La Albiceleste itu, Lionel Scaloni, sedar dengan cabaran yang menanti pasukannya di Qatar -- bermula cabaran pertama berdepan Arab Saudi.

Jaguh dari Amerika Selatan itu menamatkan penantian selama 28 tahun untuk meraih gelaran utama dengan menewaskan Brazil dalam final Copa America 2021 untuk membawa reputasi gah sejak temasya Amerika Syarikat (AS) edisi 94.

Tidak seperti ketika itu apabila mereka disekat Romania dalam pusingan 16, Argentina membayangkan kali ini mereka memiliki kumpulan pemain yang bermotivasi tinggi dengan diketuai oleh Lionel Messi yang akan membuat penampilan terakhirnya dalam Piala Dunia.

Argentina memulakan kempen Kumpulan C menentang Arab Saudi di Stadium Lusail petang esok sebelum berdepan Mexico dan Poland, tetapi Scaloni tidak menjangkakan ujian mudah buat anak buahnya ketika berdepan pasukan di kedudukan ke-51 dunia itu.

"Kami mengenali Arab Saudi dengan baik," katanya.





"Mereka pasukan yang sangat bagus, pasukan yang kuat daripada segi teknikal serta kepantasan pemainnya. Mereka akan menyukarkan kami.

"Selain itu, ia adalah perlawanan sulung kami dalam Piala Dunia, ia akan menjadi sentiasa sukar. Tetapi ini adalah Piala Dunia dan setiap perlawanan adalah sukar.

"Kami tidak berdepan tekanan kerana pada akhirnya ia adalah bola sepak; kami akan beraksi dalam Piala Dunia. Kami sedar apa yang mewakili bola sepak bagi Argentina, tetapi ini adalah sukan dan itulah sebabnya kami perlu melangkah ke atas padang dan menjayakannya melalui kudrat sendiri."