FLAMENGO 2 AL HILAL 3

Salem Al Dawsari menjaringkan dua gol sepakan penalti untuk Al Hilal menewaskan 10 pemain Flamengo 3-2, sekali gus mara ke final Piala Dunia Kelab buat kali pertama awal pagi tadi.

Al Dawsari menjaringkan gol pembukaan buat pasukan juara Arab Saudi itu seawal minit keempat perlawanan separuh akhir di Stadium Ibn-Batouta berkenaan selepas Matheuzinho didapati mengasari Luciano Vietto.

Bagaimanapun, Pedro kembali mengikat kedudukan buat juara Copa Libertadores, Flamengo, menerusi penyudah kemasnya pada minit ke-20.

Momen terbesar perlawanan itu berlaku dalam waktu kecederaan separuh masa pertama, di mana Gerson dilayangkan kad kuning kedua selepas menjatuhkan Vietto dalam kawasan penalti dan pengadil, Istvan Kovacs, memberikan sepakan berkenaan kepada Al Hilal selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Al Dawsari jelas tidak mensia-siakan kesempatan itu untuk menjaringkan gol kedua peribadinya sebelum Vietto turut menemui sasaran pada minit ke-70 bagi memberikan kelebihan selesa buat juara Asia berkenaan.

Tekanan yang diberikan Flamengo pada penghujung aksi menyaksikan Pedro menemui gol keduanya dalam perlawanan itu tetapi Al Hilal kental bertahan untuk mencongak perhitungan, sama ada dengan Real Madrid atau Al Ahly, dalam penentuan gelaran hujung minggu ini.