Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak menjanjikan "bulan dan bintang" dan hanya meletakkan sasaran selamat menjelang saingan Piala Dunia Hoki Remaja di Bhubaneswar, India bermula 24 November ini walaupun Malaysia pernah tiga kali layak ke separuh akhir.

Pasukan kendalian Wallace Tan itu hanya meletakkan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan dalam edisi kali ini.

Ia selepas skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Belgium, selain Chile dan Afrika Selatan.

Secara realistiknya, Malaysia perlu menewaskan Chile dan Afrika Selatan sendainya mahu melayakkan diri ke suku akhir.

Bagaimanapun, Wallace mengakui kesukaran yang bakal dihadapi anak buahnya, terutama untuk menewaskan Afrika Selatan.

"Malaysia berada sekumpulan dengan pasukan yang kuat," katanya dalam sidang media hari ini.

"Kerana kalau kita lihat betul-betul, Afrika Selatan juga mempunyai pemain yang beraksi dalam Sukan Olimpik (Tokyo) lalu dan mereka sudah melakukan persiapan sejak April atau Mei lalu."

KHM turut mengumumkan senarai 20 pemain terbaik pilihan Wallace untuk dibawa ke India dengan penyerang, Akhimullah Anuar Esook, dipilih sebagai ketua pasukan.

Sebagai rekod, Malaysia layak ke separuh akhir dan menduduki tangga keempat dalam edisi di New Delhi pada 2013 tetapi terkandas di peringkat kumpulan sewaktu saingan = di Lucknow tiga tahun kemudian.