JOHOR DARUL TA’ZIM II 0 UiTM FC 0

Johor Darul Ta’zim (JDT) II menamatkan saingan Kumpula B, Piala Cabaran di tangga teratas setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan terakhir berdepan UiTM FC di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, sebentar tadi.


Bagaimanapun, keputusan seri tanpa jaringan tidak memberi kesan kepada JDT II yang telah melayakkan diri ke saingan separuh akhir.

Namun, ia seolah-olah memberi gambaran betapa JDT II buntu dalam mencorakkan serangan dalam usaha untuk mencabar tempat ke final nanti.

Walaupun menurunkan pemain-pemain utama seperti Rozaimi Abdul Rahman, Amirulhadi Zainal serta penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli, mereka tetap gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Sebaliknya, JDT II seharusnya mengucapkan terima kasih di atas ketangkasan yang dipamerkan oleh Haziq, terutama sewaktu menafikan dua percubaan penting pelawat pada minit kelapan dan ke-16.

Gerakan berbalas hantaran yang dilakukan oleh Fazly Mazlan dan Rozaimi hampir memberi kelebihan buat tuan rumah, namun percubaan pemain pertahanan itu dinafikan penjaga gol UiTM.

Peluang terbaik JDT II hadir pada minit ke-58 apabila Junior Eldstal membuka ruang buat Amirulhadi tetapi rembatan kaki kanan bekas pemain Selangor dan Pahang itu tersasar.

Jurulatih JDT II, Ervin Boban, kini perlu berusaha menerapkan corak permainan lebih mantap untuk berdepan aksi lebih penting selepas ini manakala bagi UiTM, mereka terpaksa melupakan cabaran seterusnya selepas sekadar menduduki tangga ketiga kumpulan berbekalkan lima mata hasil daripada satu kemenangan, dua seri dan tiga kalah.

JDT II bakal diiringi ATM FA ke peringkat seterusnya walaupun turut mencatat keputusan seri 0-0 ketika bertemu Pulau Pinang, sebentar tadi.

Kredit foto: Facebook Johor Southern Tigers