Jurulatih Korea Selatan, Paulo Bento, belum memutuskan sama ada Son Heung-min akan diletakkan dalam kesebelasan utama atau tidak untuk berdepan China.

Dengan kedua-dua pasukan saling memungut mata maksimum daripada perlawanan menentang Kyrgyzstan dan Filipina, mereka akan turun dalam perlawanan terakhir Kumpulan C, Piala Asia 2019 di Stadium Nahyan malam ini untuk menentukan siapa yang lebih berhak mengakhiri peringkat kumpulan di tangga teratas.

Kehadiran Heung-min merangsang skuad kendalian Bento itu selepas diberikan kebenaran untuk tiba lewat supaya dia dapat kekal bersama Tottenham dan memberi sumbangan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kelewatan itu tidak menjejaskan Korea Selatan dengan barisan Taeguk Warriors itu menang kedua-dua perlawanan awal menerusi keputusan 1-0. Ini bermakna China mempunyai kelebihan menerusi perbezaan gol.

Setelah membantu Korea Selatan muncul juara dalam Sukan Asia tahun lalu, Bento bagaimanapun tidak pasti sama ada Heung-min akan menghadapi China atau hanya akan diturunkan dalam pusingan 16.

"Sudah tentu kami sedar berapa banyak perlawanan yang telah diharunginya dalam tempoh beberapa bulan lalu," katanya. "Kami juga sedar bahawa dia pemain yang sangat penting untuk kami.

"Dia telah menjalani sesi latihan kedua dengan pasukan hari ini (Selasa) dan kami akan terus memantaunya sebelum membuat keputusan. Sebarang rombakan pasukan bukanlah kerana kami ingin merehatkan pemain, sebaliknya ia berkaitan dengan strategi.

"China sebuah pasukan yang bagus dan untuk menang, kami perlu mengambil risiko," ujarnya.

Jurulatih China, Marcelo Lippi, mengesahkan beliau akan membuat perubahan dengan peringkat kalah mati sudah bermain dalam fikirannya, namun dia masih mahu mengelak kekalahan kepada Korea untuk memastikan China memenangi puncak Kumpulan C.

"Adalah penting untuk kami meneruskan momentum yang baik," kata juara Piala Dunia bersama Itali itu dalam sidang akhbar.

"Korea merupakan sebuah pasukan gergasi dan Son adalah salah seorang pemain hebat. Jika kami terpaksa menyekat Korea, ia haruslah melalui kerjasama sepasukan dan itulah yang saya tegaskan kepada pemain.

"Saya akan merehatkan pemain yang tercedera dan benar, Wu Lei tidak akan bermain kerana saya tidak mahu mengambil risiko. Dia akan pulih tetapi saya akan mengetepikannya sebagai langkah berjaga-jaga.

"Apapun, saya tidak akan mengubah 11 pemain untuk menghadapi Korea. Kami telah layak tetapi adalah sangat penting untuk kami bermain baik dengan Korea demi keyakinan sendiri," kata Lippi.