Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai strategi tersendiri untuk cuba mendapatkan mata selepas diundi bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E di Piala Asia, Qatar yang berlangsung awal tahun depan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, skuad negara menyasarkan untuk mencuri mata berdepan Jordan dan Bahrain sekali gus tidak hanya menjadi pasukan pelengkap dan pulang dengan tangan kosong di kejohanan bola sepak tertinggi Asia itu.

"Kalau kita lihat undian, kita akan bertemu dengan Jordan dahulu kemudian Bahrain dan Korea Selatan. Sudah tentu harapan saya dan FAM untuk membawa mata balik kerana kita dah lama tak masuk pusingan akhir Piala Asia ini.

"Tetapi, kita perlu berhati-hati kerana pasukan yang ada ini adalah pasukan terbaik di Asia. Kalau kita tengok Korea ini bukan terbaik dalam Asia, tetapi mereka dah tahap Piala Dunia.

"Saya harap kita akan dapat persiapkan pasukan ini dengan baik dan Harimau Malaya dapat buat yang terbaik terutama melawan Jordan dan Bahrain walauapun kita tahu ranking mereka lebih tinggi daripada kita.

"Harapan kita dapat mata, tidak kosong untuk bawa balik Malaysia. Tetapi, kalau dapat layak ke pusingan 16 terbaik itu memang bagus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam Majlis Hari Raya FAM, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Dalam pada itu, Hamidin menjelaskan persiapan rapi telah diatur membabitkan perlawanan persahabatan dengan pasukan berkualiti sekali gus menyediakan pasukan negara sebelum kejohanan bermula.

"Sekarang ini, persiapan adalah yang paling mustahak menentang Kepulauan Solomon (pada 14 Jun) dan menentang Yaman pada 20 Jun. Selepas itu, mungkin pada September kita akan pergi ke China dan satu lagi negara yang akan disahkan kemudian.

"Kemudian untuk Pestabola Merdeka kita akan main lagi dengan Palestin, India dan Lubnan. Seterusnya kita ada kelayakan Kelayakan Pusingan Kedua Piala Dunia pada bulan November.

"Saya rasa setiap satu atau dua bulan ada perlawanan, ia adalah satu persiapan yang cantik," katanya.

kredit: Sinar Harian