Skuad B-23 (B-23) Malaysia menutup kempen Piala Asia B-23 2024 tanpa sebarang mata selepas tewas 1-2 kepada Kuwait dalam perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Al Janoub di Al Wakrah, Qatar, awal pagi tadi.

Bekas pemain kebangsaan merangkap tetamu rancangan Arena Bola iaitu Zaquan Adha Abd Radzak dan S. Subramaniam berpendapat bahawa persiapan untuk ke kempen Piala Asia kali ini nyata tidak cukup buat anak buah Juan Toress Garrido.

"Sudah pasti, kita ada sasaran, kita mahu pencapaian terbaik yang kita boleh buat.

"Persoalan di sini, persiapan kita untuk capai kita punya target. Itu sebenarnya yang bermain di fikiran sayalah.

"Maksud kata, persiapan kita untuk harungi kejohanan terbesar, adakah kita pergi ke kejohanan terbesar ini, kita hanya buat sekadar atau kita betul-betul nak pergi kejohanan yang besar sebegini.

"Untuk saya mungkin persiapan tidak cukup untuk barisan pemain muda ini mahu bermain dengan pentas yang sebegini hebat saya rasa tidak cukup," kata Zaquan Adha.

Subramaniam turut meluahkan pendapat dengan berkata: "Bagi saya merancang untuk gagal, atau gagal untuk merancang.

"Enam bulan sebelum pertandingan AFF B-23, kita di tangga keempat dan kita selepas pertandingan, jurulatih Elavarasan meletakkan jawatan dan kita tiada jurulatih.

"Dan tak silap saya, empat bulan sebelum kejohanan ini bermula kita mendapatkan pembantu jurulatih Kim Pan Gon sebagai jurulatih.

"Empat bulan sahaja untuk mempersiapkan pasukan ini di tambah dengan kekurangan perlawanan kompetitif untuk skuad B-23."

Zaquan Adha menambah, "Kalau sebelum ini dalam kelayakan Olimpik dan tahu kita nak ke sana, kita bermain dengan pasukan Nigeria dan China.

"Jadi persiapan kita mahu bermain di pentas hebat ini (dengan mengatur) perlawanan persahabatan yang berkualiti.

"Matlamat kita kali ini untuk layak ke Olimpik (tapi ini bukan persiapannya, ujar Subramaniam.