Harimau Muda menamatkan kempen Piala Asia B-23 tanpa mengutip sebarang mata dalam saingan Kumpulan D selepas tewas 1-2 ketika berdepan Kuwait di Stadium Al Jonoub, awal pagi tadi.

Pada awal separuh masa pertama pasukan negara turun dengan corak permainan yang lebih menyakinkan apabila Luqman Hakim Shamsudin berjaya meledak jaringan awal tetapi dibatalkan ekoran berada pada kedudukan ofsaid.

Begitupun, aksi positif itu tidak bertahan lama apabila penjaga gawang negara, Sikh Izhan Nazrel, dilayangkan kad merah kerana menanduk Salman Al-Awadhi di luar kotak penalti hingga menyebabkan skuad muda negara terpaksa bermain dengan 10 orang pemain.




Jaringan awal Kuwait hadir menerusi Salman pada minit tambahan separuh masa pertama selepas pengadil dari Australia, Alexander King meneliti ulang tayang Video Bantuan Pengadil (VAR) dan mendakwa Umar Hakeem mengasari pemain lawan di dalam kotak penalti. .

Dalam pada itu, Talal Al-Qaisi terus menambah derita Malaysia dalam separuh masa kedua dengan memberikan kelebihan dua gol pada minit ke 63 walaupun selang tiga minit kemudian jaringan saguhati Malaysia hadir menerusi Hakimi Azim Rosli justeru menjadi jaringan tunggal yang dimiliki skuad muda dalam kempen itu.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan anak buah Juan Torres Garrido berada di kedudukan tercorot Kumpulan D tanpa mengutip sebarang mata.