Pertahanan negara, Sharul Nazeem Zulkapar, enggan meratapi kehilangan Azam Azmi Murad dan Ahmad Khuzaimi Piee menjelang misi hidup mati bertemu Singapura, Selasa depan.

Sebaliknya, pemain Selangor itu menegaskan api perjuangan barisan pemain kebangsaan tetap bernyala demi memastikan tiket separuh akhir menjadi milik Harimau Malaya.

"Ia mungkin merencatkan percaturan Pan-gon tapi jurulatih mungkin ada perancangan lain.

"Setiap pemain ada pengganti masing-masing.

"Saya rasa pasukan negara tidak tempang, semua pemain yang dipanggil berpotensi dan bagus.

"Saya tidak rasa ada kelainan pun," kata pemain Selangor yang sudah membuat enam penampilan di pentas antarabangsa itu.



Dalam masa sama, Khuzaimi kembali menjalani latihan ringan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM hari ini.

Pemain tengah negara, Mukhairi Ajmal, pula merumuskan Harimau Malaya perlu memperkemaskan situasi bola mati sekiranya ingin melangkah ke pusingan kalah mati.

"Setiap perlawanan jurulatih sering menekankan dalam situasi bola pegun tapi sepanjang Piala AFF ini kami belum berhasil lagi.

"Bola pegun amat penting buat setiap pasukan dan boleh dijadikan kelebihan," katanya.