Pertahanan Sri Pahang FC, Nick Swirad, kecewa apabila tidak dapat menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Selasa depan kerana masalah keluarga.

Swirad pada awalnya tersenarai selaku antara 29 pemain yang dipanggil ketua jurulatih, Kim Pan-gon, bagi menyertai kem latihan pusat menjelang dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives, masing-masing pada 9 dan 14 Disember ini, sebagai persediaan bagi menghadap Piala AFF bulan depan.

Bagaimanapun, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Azlani Adani, Swirad mendedahkan bahawa dia terpaksa menolak pelawaan itu berikutan masalah keluarga yang perlu diselesaikannya di Manchester, England, sekali gus terlepas peluang untuk ke Piala AFF.

"Seperti yang anda tahu, saya terpilih untuk menyertai pasukan tetapi saya mengalami masalah keluarga dan perlu pulang ke rumah saya.

"Saya sudah memaklumkan bahawa saya tidak dapat menyertai kem latihan dan hanya dapat kembali pada Sabtu depan.

"FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) amat memahami tetapi mereka berkata ia akan menjadi tidak adil buat pemain-pemain lain, di mana ia memang benar.

"Malangnya, selepas tidak dapat menyertai skuad negara kerana kecederaan sebelum ini, ia sekali lagi menjadi situasi yang mengecewakan buat saya," katanya.