Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) tetap menjadi keutamaan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampak berusaha memastikan gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu menjadi venue rasmi untuk Piala AFF 2022.

Badan induk itu menangguh pengumuman berkenaan selewat-lewatnya hingga Sabtu ini tatkala empat venue lain sudah diumumkan sebagai pilihan.

"Kami ada beberapa pilihan sebenarnya, kami mahu memastikan keadaan seperti daripada segi padang dan rumput. Secara dasarnya semuanya sudah OK.

"Kami akan muktamad selewat-lewatnya Sabtu ini.




"SNBJ memang dalam keutamaan dan benda itu dalam senarai pendek kami," kata Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Dalam masa sama, Noor Azman tidak menolak bahawa sedia memperkenalkan video bantuan pengadil (VAR) dalam kancah tempatan berikutan ketiadaan pengadil Malaysia yang terpilih untuk bertugas dalam Piala Dunia Qatar, bulan depan, berikutan tidak memiliki lesen teknologi berkenaan.

"Memang ada Jawatankuasa Pengadil (FAM) mendapat taklimat daripada dua penyedia, (iaitu) Hawk-Eye Innovations dan Mediapro.




"Kami perlu tengok daripada segi kosnya, sama ada nak beli atau sewa.

"Kami serahkan kepada jawatankuasa pengadil untuk menilaikan," katanya.