Pemilihan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang sendiri skuad Harimau Malaya untuk kempen Piala AFF disifatkan bersesuaian walaupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai empat venue lain sebagai alternatif.

Pandangan itu disuarakan dua bekas pemain negara, Asmawi Bakiri dan Raizuwah Idris, berdasarkan faktor lokasi selain mampu memberi aura berbeza kepada barisan pemain negara.

"Pasukan akan lebih bersedia beraksi di SNBJ. Saingan kelayakan Piala Asia sebelum ini menjadi suntikan semangat dan saya berasakan keputusan FAM memilih gelanggang itu adalah tepat," kata Asmawi.

Terdahulu, FAM mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue tuan rumah skuad negara ekoran beberapa faktor tertentu.

Lantas, badan induk itu menyediakan pelan B menerusi pilihan venue lain iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Stadium Cheras dan Stadium Hang Jebat Melaka.

Namun, FAM tampak berjaya 'memujuk' Perbadanan Stadium Malaysia PSM untuk membenarkan penggunaan Stadium Nasional sebagai gelanggang rasmi Harimau Malaya.

"Penyokong akan menuju ke Bukit Jalil untuk memberikan semangat buat Harimau Malaya. Saya percaya semua mahu kemenangan akan memihak Malaysia dalam saingan PIala AFF kali ini," kata Raizuwah.