Kapten skuad negara, Safawi Rasid, bersedia menggalas misi membawa pulang trofi Piala AFF menjelang aksi pembukaan Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna petang esok.

Pemain sayap itu yakin gandingannya bersama Darren Lok dan Faisal Halim akan mampu menggegarkan jaring lawan, sekali gus menamatkan penantian kejuaraan yang kali terakhir dijulang Harimau Malaya pada 2010.

"Saingan pada tahun ini, bukan hanya saya tetapi seluruh pasukan dan staf menggalas misi yang besar untuk memenangi trofi ini.

"Walau apa pun yang berlaku, kami perlu melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini untuk mendapatkan trofi berkenaan," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

Di sebalik keyakinan itu, skuad negara terlebih dahulu mempunyai misi untuk menamatkan badi di gelanggang Myanmar, di mana Harimau Malaya tidak pernah menang sepanjang tiga perlawanan lalu di Stadium Thuwunna.

Ini selepas Malaysia tewas 0-1 kepada Myanmar dalam aksi persahabatan pada Ogos 2017 selain tewas dengan keputusan sama dalam saingan Kumpulan B Piala AFF pada November 2016 dan terdahulu, Harimau Malaya juga terikat tanpa jaringan di gelanggang sama dalam aksi persahabatan pada Mei 2016.