Ketua pasukan Harimau Malaya, Safawi Rasid, sosok penting dalam mencipta peluang kemaraan ke separuh akhir Piala AFF.

Pandangan itu dilontarkan oleh dua tetamu Astro Arena -- yang membantu Malaysia memenangi kejuaraan pertama rantau berkenaan -- sempena siaran langsung perlawanan malam tadi, Razman Roslan dan Norshahrul Idlan Talaha.

Menurut mereka, Safawi tidak seharusnya mengambil pusing kritikan terhadap prestasinya musim lalu hingga membawa kepada penghijrahan pinjamannya ke kelab Thailand, Ratchaburi, musim depan.

Dia diberi peranan agak berbeza oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon, tetapi terbukti kekal efektif dengan menghasilkan dua umpanan dalam kemenangan 4-1 ke atas Singapura malam tadi.

Hantaran silangnya kaki kanannya ditanduk kemas oleh penyerang negara, Darren Lok, untuk gol pertama aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, itu sebelum menjadi arkitek kepada jaringan ketiga yang diledak Stuart Wilkin.

"Sudah tentu kalau saya jadi Safawi, saya berpuas hati.

"Walaupun tidak menjaringkan gol tapi dapat lakukan bantuan jaringan untuk rakan dan membawa Malaysia ke pusingan separuh akhir adalah lebih penting," katanya Norshahrul.

Pandangan serupa turut dilontar Razman apabila berkata: "Bukan siapa yang menjaringkan gol, tapi kejayaan sebagai satu pasukan lebih manis untuk kejayaan malam ini."





Sementara itu, Safawi yang ditemui selepas perlawanan mendedahkan perang psikologi yang dilancarkan pemain Singapura, Ikhsan Fandi, di laman sosial mengobarkan semangat mereka.

"Pertama sekali saya sangat bangga dengan pemain dan terutama jurulatih yang selalu bagi motivasi kepada pasukan.

"Bagi saya kemenangan ini bagus sebab ada pemain Singapura nak menari malam ini (malam tadi), tapi tak jadi.

"Ini Bukit Jalil, anda tidak boleh melakukannya,” katanya.

Kemenangan ini membawa Harimau Malaya menempah pertemuan separuh akhir dengan juara bertahan, Thailand, dalam aksi pertama di Bukit Jalil, Sabtu ini.