Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, tidak berselindung daripada mengakui faktor tuah memainkan peranan ketika Harimau Malaya membuka kempen Kumpulan B, Piala AFF 2022 dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar di Yangon semalam.

Malaysia menamatkan badi tanpa kemenangan di Stadium Thuwunna hasil jaringan tunggal Faisal Halim dalam babak kedua sebelum penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed, bertindak tangkas menafikan sepakan penalti lawan dalam waktu kecederaan.

"Saya fikir dariapada segi prestasi permainan, ia tidak terlalu cantik tetapi kami dapat mengawal situasi," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Walaupun ia dibantu oleh nasib, saya perlu berterima kasih kepada pemain ini kerana dengan memulakan saingan di tempat lawan, sasaran kami adalah untuk mendapatkan tiga mata.

"Apapun, kami dapat mencapai sasaran itu, jadi kami akan pulang ke rumah dan bersedia untuk perlawanan seterusnya menentang Laos."

Kejayaan menewaskan Myanmar, bagaimanapun, memerlukan harga yang tinggi apabila tonggak pertahanan, Khuzaimi Piee, tampak mengalami kecederaan serius dan berkemungkinan akan terlepas perlawanan menentang Laos di Bukit Jalil, Sabtu ini.