Alexandre Polking memberi amaran kepada pasukan Harimau Malaya bahawa ia akan menjadi cerita berbeza dalam pertemuan kedua separuh akhir Piala AFF di Stadium Thammasat, Selasa depan.

Ketua jurulatih Thailand tersebut merumuskan hasil keputusan 0-1 sebentar tadi yang tidak memihak juara bertahan berkenaan sebagai adil di sebalik diselubungi kontroveri keputusan pengadil dari Korea Selatan, Kim Dae Young.

Dae Yong mengundang persoalan kem Malaysia apabila membatalkan gol tandukan Dominic Tan untuk jaringan kedua Harimau Malaya pada minit ke-55 -- selepas Faisal Halim terlebih dahulu meletakkan Malaysia di hadapan (m-11).

Pengadil itu kemudian membelakangi rayuan sepakan penalti daripada Ekanit Panya pada minit ke-63 biarpun mendakwa dikasari penjaga gol negara, Syihan Hazmi Mohamed, di dalam kotak penalti.

"Saya tidak nampak dari kedudukan sini (tepi padang) tapi daripada maklumat pemain saya, seorang anak buah saya telah disiku oleh pihak lawan.

"Tapi pemain Malaysia kata ia tidak berlaku. Saya boleh nampak dari sini.

"Saya juga nampak jelas satu sepakan penalti (yang perlu diberikan kepada kami).





"Jadi keputusan ini (boleh dianggap) adil memandangkan kami melancarkan deretan serangan tapi buntu, jadi kami perlu kekal tenang.

"Kami perlu bangga," katanya selepas perlawanan.

Ketua jurulatih Thailand itu mengambil kesempatan untuk menyatakan kekagumannya terhadap sorakan padu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malah percaya ia boleh menjadi penentu kepada perlawanan timbal balik.

"Kami tidak pernah akan berpuas hati apabila kalah perlawanan tapi kami belum berakhir.





"Satu-satunya kekecewaan ialah jika tiada peluang untuk bangkit memandangkan kami mempamerkan permainan yang menakjubkan pada malam ini.

"Tapi bagusnya kami ada 90 minit lagi di tempat sendiri bersama penyokong kami.

"Tahniah kepada penyokong di sini yang sentiasa menjadi dorongan buat pasukan dan bersikap dengan begitu baik.

"Tapi kami akan mengadakan perlawanan kedua di Thailand.

"Kami cuma memerlukan rehat yang baik, kemudian kami akan bermula semula," katanya lagi.