Penyerang skuad negara, Faisal Halim, berkata dia terpaksa melupakan percutiannya bersama keluarga tersayang demi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persiapan menjelang Piala AFF bulan depan.

Ketika ramai pemain utama memilih untuk tidak menyertai kem kebangsaan bagi saingan kali ini, Faisal dengan rela hati memilih untuk menunda waktu bersama keluarganya demi menyahut panggilan ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Memasuki hari kedua sesi latihan skuad negara hari ini, Faisal kian optimis dengan pembaharuan kali ini dengan menganggapnya mampu menjadi kelebihan buat Harimau Malaya.

Enggan terkesan dengan ketiadaan pemain-pemain ternama, Faisal menegaskan bahawa kehadirannya dalam skuad kali ini bukan sekadar untuk menjadi pelengkap kejohanan, sebaliknya akan berjuang sehabis-habisnya untuk mengulangi kejayaan menjulang gelaran yang kali terakhir dilakukan Malaysia dalam edisi 2010.

"Saya sebenarnya sudah memiliki perancangan tetapi apabila jurulatih Kim menghubungi saya lebih awal untuk menyertai skuad negara, saya memberitahunya bahawa saya ingin ikut serta kerana saya mahu membantu Malaysia.

"Saya memberitahu isteri dan keluarga saya bahawa saya perlu membantu Malaysia dan selepas itu barulah kami akan bercuti," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena.