Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan bahawa dua pemain, iaitu Akram Mahinan dan Declan Lambert, tidak melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas kedua-duanya meminta pelepasan kerana urusan peribadi.

FAM memaklumkan telah menerima surat maklumat daripada majikan dua pemain itu, iaitu Kuala Lumpur City FC, yang menyatakan bahawa kedua-dua pemain tersebut tidak dapat bersama skuad Harimau Malaya bagi persiapan menjelang kempen Piala AFF 2022.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, berkata: "Dengan ketiadaan Akram dan Declan, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 28 pemain lain, termasuk seorang pemain dari senarai bersedia, iaitu Fazly Mazlan, pertahanan kiri Selangor FC.

"Seramai 17 pemain telah melaporkan diri hari ini manakala baki 11 pemain akan menyertai pasukan secara berperingkat, iaitu tujuh pemain Selangor FC dan dua pemain Johor Darul Ta'zim pada 5 Disember 2022; penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim, pada 6 Disember 2022 selepas selesai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan dan pemain FK Jablonec, Dion Cools, pada 16 Disember 2022."