Berbaki tiga minggu sebelum skuad Harimau Malaya membuka tirai perlawanan menentang Kemboja bagi saingan Piala AFF di Singapura 6 Disember depan.

Kem negara menerima berita baik apabila pemain warisan negara, Dion Cools, dijangka menyertai skuad Harimau Malaya pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan.

"Kami telah berhubung dengan pemain tersebut dan dia berminat untuk beraksi dalam saingan Piala AFF nanti," kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Itu perkongsian beliau mengenai pemain kacukan, Dion Cools yang menjadi perbualan hangat beberapa pihak mengenai penyertaannya bagi saingan Piala AFF.

Di samping itu, skuad Harimau Malaya sekali lagi berkemungkinan menghadapi masalah persiapan apabila dijangka tiada perlawanan persahabatan sebelum Piala AFF membuka tirai Disember depan.

Yusoff juga berkongsi bahawa skuad negara dijangka tiba di Singapura 3 Disember dan tempoh untuk mengadakan perlawanan persahabatan terlalu dekat dengan perlawanan rasmi yang dijadualkan tiga hari berikutnya.

Sementara itu, Yusoff juga menyentuh mengenai sasaran kem negara iaitu sekurang-kurangnya mencapai aksi final pada saingan Piala AFF.

Bagaimanapun ia kelihatan seperti sasaran yang sukar dicapai apatah lagi dengan kemungkinan tiada perlawanan persahabatan sebelum kejohanan sebenar bermula.