Pemain Harimau Malaya, terutama di benteng pertahanan, tidak berdepan masalah untuk membentuk keserasian walaupun pasukan yang akan beraksi di Piala AFF kali ini dibarisi ramai pemain muda dan muka baru.

Pertahanan negara, Ahmad Khuzaimi Piee, berkata kesemua pemain menunjukkan komitmen, sekali gus bersedia untuk memberikan aksi terbaik dalam saingan yang akan membuka tirai pada 21 Disember ini.

Menurutnya, tanpa kehadiran pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools, dalam dua aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives, memberikan ruang buat gandingan baru diuji di posisi berkenaan.

"Sebelum ini pun kami dah berlatih bersama, ia tidak ambil masa lama untuk kami serasi. Apa yang penting, setiap pemain dapat memberi komitmen dalam pasukan," katanya dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Maldives di Stadium KLFA malam esok.

Cools, yang turut dinamakan sebagai kapten Harimau Malaya, dijangka menyertai skuad negara pada Jumaat ini.

Harimau Malaya sebelum ini membelasah Kemboja 4-0 dalam aksi persahabatan dan akan mengharungi satu lagi perlawanan menentang Maldives sebelum bermulanya Piala AFF.

Untuk Piala AFF, Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan akan membuka kempen dengan menentang Myanmar di Yangon pada 21 Disember, diikuti bertemu Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menutup saingan peringkat kumpulan berdepan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari depan.

Dalam pada itu, Ahmad Khuzaimi menyifatkan perlawanan menentang Maldives tidak boleh dipandang mudah dan pemain perlu mengikut setiap taktikal yang dimahukan Pan-Gon.

"Bagi saya, perlawanan menentang Maldives satu perlawanan yang sukar. Saya harap setiap pemain dapat beri persembahan terbaik dan ikut taktikal yang dimahukan jurulatih," katanya lagi.

Kredit: Sinar Harian