MALAYSIA 2 LAOS 0

Keseimbangan ketika bertahan dan menyerang menjadi azimat skuad remaja negara untuk mengecapi Kejohanan Piala AFF B-19 selepas menjinakkan Laos 2-0, sebentar tadi.


Skuad kendalian Hassan Sazali Waras mengotakan ikrar mereka menjadikan Stadium Patriot Candrabhaga sebagai medan membalas dendam.

Malaysia yang merehatkan sebilangan tonggak utama tewas 0-1 kepada Laos ketika di peringkat kumpulan tetapi melaungkan amaran untuk menonjolkan permainan sebenar dalam penentuan gelaran.

Laos yang dikemudi jurulatih kelahiran Jerman yang berpengalaman luas di Asia Tenggara, Michael Weiss, menjadi pakej kejutan dalam edisi kali ini dengan rentak kemenangan termasuk menyingkirkan Thailand dalam separuh akhir.

Begitupun, mereka tidak mempunyai jawapan untuk menembusi benteng negara sementara kelincahan pemain sayap Malaysia kerap mengucar-ngacirkan pertahanan lawan.

Walaupun mempunyai deretan peluang menarik tetapi sentuhan pemusnah daripada Faiz Amer Runnizar pada minit ke-14 dan Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-76 memuktamadkan kejuaraan kedua buat Malaysia selepas kejayaan manis edisi 2018 se,mentara Vietnam meraih tempat ketiga selepas mengalahkan Thailand.