Bekas pemain negara, Asmawi Bakiri, berasakan pemain naturalisasi, Sergio Aguero, dan dua pemain berdarah campuran, David Rowley dan Stuart Wilkin, perlu bekerja lebih keras seandainya terpilih mewakili negara dalam Kejohanan Piala AFF bermula 21 Disember ini.

Baginya, apa yang dipamerkan ketiga-tiga pemain itu belum cukup untuk menepati indeks petunjuk prestasi (KPI) yang diletakkan ke atas mereka sebagai pemain naturalisasi dan berdarah campuran, yang sepatutnya memiliki faktor istimewa.

Ini bagi memenuhi kehendak ketua jurulatih, Kim Pan-gon, yang mahukan sebuah pasukan berperwatakan tersendiri, bergerak pantas dan kemas daripada segi taktikal dan teknikal.

"Sudah pasti saya belum dapat melihat kualiti pemain seperti Sergio Aguero untuk diterjemahkan ke dalam falsafah Kim," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"David Rowley juga perlu bekerja keras kerana posisinya di bahagian tengah memerlukan pemain yang lebih agresif, lebih cepat dan lebih kuat.

"Stuart Wilkin juga, walaupun dia menjaringkan gol, pemain muda ini perlu bekerja keras.

"Kita dapat melihat sedikit jurang (prestasi), ia tidak banyak tetapi mungkin pemain yang baru dipanggil ini belum mencapai tahap dan keinginan yang dimahukan Kim," katanya.