Bekas penyerang skuad negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, turut meluahkan kekecewaannya selepas skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bergelut untuk menandingi Sang Garuda yang rata-ratanya merupakan pemain B-23, malam tadi.

Bagi Akmal, detik hitam yang dilalui skuad kebangsaan dalam kempen Piala AFF 2020 di Singapura itu hasil daripada kelemahan pihak pengurusan dalam menyediakan pasukan kebangsaan untuk menghadapi saingan elit Asia Tenggara berkenaan apabila pulang awal dengan menduduki tangga ketiga Kumpulan B di belakang Indonesia dan Vietnam.

"Kegagalan pasukan negara ialah ketiadaan persiapan untuk menguji keberkesanan taktikal yang dimainkan Tan Cheng Hoe.

"Pemain yang dibawa ke Piala AFF kali ini adalah terhad dan bukan (dalam kalangan) pemain terbaik Liga Malaysia yang dibawa.

"Memang saya kecewa kerana beberapa tahun kebelakangan ini Malaysia tidak melahirkan penyerang yang baik.

"Program naturalisasi gagal. Sebelum Guilherme De Paula dan Liridon (Krasniqi), kita ada Mohamadou Sumareh yang pernah melakukan sesuatu. Kalau program naturalisasi diteruskan ia perlu dikaji sedalam yang mungkin selain faktor umur pemain," kata Akmal yang menyarung jersi negara dari 2001-2008.





Sementara itu, lain pula yang disuarakan bekas pemain bola sepak negara, P. Maniam, yang kini mengemudi Petaling Jaya City ketika menyuarakan pendapatnya dari perspektif seorang jurulatih.

Dia menjelaskan bukan mudah untuk Cheng Hoe membimbing skuad negara ke final seperti yang dilakukannya dalam edisi lalu memandangkan terpaksa mengharungi pelbagai masalah di luar mahupun di atas padang.

"Tan Cheng Hoe telah cuba yang terbaik kerana bukan senang dalam situasi ini.

"Saya pujinya kerana berdepan kesuntukan masa, dia profesional tetap dan bertanggungjawab.

"Seorang jurulatih perlu tampil berani dan inilah yang saya nampak.

"Saya rasa pasukan kebangsaan telah berikan yang terbaik dengan barisan pemain yang ada.

"Malaysia akan bangkit selepas kekalahan kepada Indonesia ini," kata Maniam pula yang memperkuatkan skuad kebangsaan dari 1992–1998.