Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, kecewa apabila Kejohanan Piala AFC Zon ASEAN akan dibatalkan dalam tempoh tiga hari ini.

Pandemik COVID-19 memaksa Singapura menarik diri selaku tuan rumah saingan Zon Asean pada bulan lalu dan keadaan itu memaksa Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membatalkan kejohanan itu seandainya tiada sebarang negara bersetuju menjadi penganjur dalam tempoh tiga hari ini.

Selepas lapan tahun tidak pernah menjejakkan kaki di pentas Asia, Nafuzi bersemangat tinggi untuk membawa pasukannya memberikan aksi terbaik dalam Piala AFC tetapi hasratnya itu kini sudah hampir berkubur.

"Kami menerima keputusan daripada AFC ini dan menganggap kejohanan itu memang sudah dibatalkan disebabkan kesukaran untuk mencari tuan rumah.

"Kami memahami perkara ini tetapi daripada segi pihak pengurusan, pemain dan penyokong, memang tidak dinafikan kami agak kecewa," katanya.