"Kami hanya perlu jaring tiga gol, jika tidak gaji dipotong," seloroh ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, menjelang perlawanan terakhir Kumpulan H, Piala AFC menentang Tampines Rovers di Stadium KLFA, Cheras malam esok.

Biarpun sekadar gurauan, ia memberikan maksud mendalam buat barisan serangan pemain skuad Warga Kota itu, termasuk Romel Morales

Ini kerana, hanya kemenangan besar ke atas wakil Singapura itu dapat menjamin kelayakan mereka ke pusingan kalah mati selepas terikat tanpa jaringan dengan PSM Makassar dalam perlawanan pertama.

"Sasaran utama adalah untuk memenangi perlawanan ini, itu sentiasa menjadi sasarannya," kata Hodak dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Jika kami boleh memenanginya dengan perbezaan jaringan lebih besar, sudah pasti kami dapat menjadi juara kumpulan seperti yang dimahukan semua orang tetapi sasaran utama kami adalah untuk memenangi perlawanan ini," katanya.

Ditanya mengenai pendekatan yang akan digunakannya dalam perlawanan itu, Hodak menambah: "Ia sentiasa dengan corak menyerang.

"Cuma persoalannya adalah sama ada penyerang kami dapat menjaringkan gol atau tidak.

"Tentang perkara itu, kita tidak boleh cakap apa-apa tetapi tiada tekanan buat mereka.

"Kami cuma perlu jaringkan tiga gol, jika tidak gaji potong -- tapi tiada tekanan," selorohnya.