Dengan prestasi perlawanan akhir menentang Sarawak United yang menyaksikan kemenangan bergaya buat pasukan warga kota, KL City kini yakin dapat memberikan aksi terbaik pada final antaran zon di bumi Uzbekistan.

Skuad The City Boys nampaknya sudahpun bersiap sedia menjelang aksi antara zon final menentang Sogdiana 5 Oktober nanti ekoran tahap kecergasan barisan pemainya kini di tahap terbaik.

"Persiapan berjalan dengan baik, kami memperoleh keyakinan yang tinggi menjelang perlawanan akan datang," kata Hodak.

"Skuad kami juga kini bebas daripada kecederaan dan setiap pemain dapat diturunkan dalam sesi latihan."

Ketiadaan kelibat dua pemain yang hangat diperkatakan, Zhafri Yahya dan Declan Lambert pada sesi latihan terakhir sebelum berangkat ke Uzbekistan malam ini terjawab apabila Bojan hanya memberikan ruang kepada mereka untuk berehat selepas bersama skuad kebangsaaan di Chiang Mai lalu.

"Declan dan Zhafri bersama skuad kebangsaan, kami memberikan waktu rehat dan bersama keluarga, menjalani proses pemulihan dan menyertai pasukan untuk ke Uzbekistan nanti," katanya lagi.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Croatia itu enggan memberi komen lanjut mengenai isu jurulatih negara, Kim Pan-gon dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana menganggap pandangannya tidak penting bagi pihak lain.