Penyerang B-23 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, mahu buka lembaran baru dalam kempen Piala AFC B-23 bagi melupakan detik hitam dalam Sukan SEA Vietnam, dua minggu lalu.

Pasukan remaja negara itu terlepas pingat gangsa temasya dwitahunan berkenaan selepas gagal dalam penentuan sepakan penalti ketika melawan Indonesia yang menyaksikan Hadi Fayyadh dan Luqman Hakim Shamsuddin gagal melaksanakan tugasan tersebut.

Skuad asuhan Brad Maloney itu akan memulakan kempen di Uzbekistan itu berdepan juara bertahan, Korea Selatan, Stadium Lokomotiv, Khamis ini.

Justeru, penyerang berusia 23 tahun itu, turut menganggap tiada apa yang mustahil untuk malaysia mencuri mata penuh selepas menjalani persiapan rapi.





"Kalau gagal hari ini tidak semestinya akan gagal selama-lamanya, rezeki akan datang jua dan ada di mana-mana sahaja.

"Mungkin Sukan SEA bukan rezeki kami dan kami sudah cuba sedaya upaya cuma tidak dapat keputusan (memuaskan).

"Saya tetap gembira sebab semua pemain semua telah tunjukkan persembahan yang sangat bagus, kami bermain menyerang.

"Tiada apa yang mustahil dalam bola sepak, kami akan langgar sahaja dan semua pemain sudah sematkan pemikiran seperti itu.

"Kami perlu berikan 120 peratus usaha, Korea Selatan antara sebuah pasukan yang kuat.

"Tapi tiada apa mustahil, kami akan lakukan terbaik dan saya yakin kami akan dapatkan positif," katanya.





Barisan kendalian Maloney sudah pun kembali berada dalam motivasi dan moral terbaik selepas apa yang dilalui di Vietnam.

Maloney juga mengakui Korea Selatan merupakan cabaran sengit yang perlu dihadapi skuad negara dalam Kumpulan C selain Thailand dan Vietnam.

Semua pemain cukup bersemangat, pemain juga idamkan kejayaan di Hanoi. Pemain juga gembira dengan suasana dan semangat untuk mengharungi kejohanan ini sangat.

"Korea Selatan memiliki pemain yang berpangkalan di luar negara jadi saya jangkakan satu perlawanan yang sangat mencabar dan kami akan menghadapinya dengan sewajarnya," katanya pula.