CARDIFF CITY 1 MANCHESTER UNITED 5

Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mendedahkan bekas penyerang pasukan itu, Wayne Rooney, memberi galakan kepadanya agar menjadikan United pasukan yang kembali menyerang ketika mereka menewas Cardiff City 5-1, awal pagi tadi.


The Red Devils memaparkan aksi luar biasa di Stadium Cardiff dengan Jesse Lingard menjaringkan dua gol manakala Marcus Rashford, Ander Herrera dan Anthony Martial turut tersenarai selaku penjaring.

Ia merupakan kali pertama United menjaringkan lima gol dalam Liga Perdana Inggeris sejak perlawanan terakhir yang dibimbing Alex Ferguson pada 2013.

Aksi itu juga dilihat terlalu berbeza dengan falsafah yang dibawa bekas pengurus, Jose Mourinho.

Solskjaer menjelaskan kejayaan itu berpunca daripada keinginannya menyerlahkan potensi pemain muda seperti yang turut diharapkan bekas kapten pasukan, Rooney.

"Bola sepak menjadi mudah sekiranya anda memiliki barisan pemain yang baik dan kami memiliki ramai permain seperti itu. Mereka amat luar biasa," katanya kepada BT Sport.

"Saya mula bersama mereka sejak Khamis lalu dan mungkin pesanan dan nasihat daripada Wazza (Rooney) membantu saya meraih kemenangan.

"Dia memberitahu saya untuk membenarkan pemain menikmati bola sepak.

"Biarkan mereka tersenyum, menyerang dan menjadi Manchester United.

"Itu yang saya harapkan daripada pemain selepas mereka melalui sepanjang minggu yang sukar.

"Mereka memberikan respons dengan amat baik.

"Saya mahu mereka mengekalkan prestasi seperti itu dalam setiap perlawanan.

"Saya mahu mereka beraksi menyerang.

"Setiap perlawanan memberikan peluang berbeza.

"Asasnya adalah pertahanan yang baik dan keempat-empat pertahanan kami beraksi cemerlang hari ini.

"Suasana di bilik persalinan juga baik.

"Mereka mahu memberikan yang terbaik buat pasukan ini.

"Oleh kerana itu, mereka layak memakai lencana yang ada di dada mereka," tambahnya.