Masyarakat umum yang meminati bola sepak rata-rata pasti tahu betapa pentingnya peranan padang latihan kepada sesebuah kelab.

Walaupun praktik ini di Malaysia masih belum benar-benar kelihatan, bolasepak Inggeris terutamanya sepanjang 10 hingga 15 tahun yang lalu melakukan transformasi total berkenaan pusat latihan mereka.

Kampus Manchester City dan Tottenham Hotspur dilihat sebagai yang tercanggih di sana sebelum Leicester City melancarkan antara pusat latihan paling futuristik di dunia, tahun lalu. Pusat Carrington (United) dan Cobham (Chelsea) juga antara yang ‘hidup’ bukan hanya kerana diisi pemain berkelas dunia, malah staf kejurulatihan juga selalunya berkelas dunia.

Maklumat yang biasa kita baca mengenai staf kejurulatihan lazimnya mempunyai ketua jurulatih dan dua pembantu, penganalisis permainan, pencari bakat (scout), jurulatih kecergasan, pakar pemakanan, chef, dua orang kitman dan mungkin beberapa orang pengawal keselamatan untuk tujuan bertandang ke tempat lawan (away games).

Namun dengan bola sepak moden yang memberi tumpuan khusus kepada kemasan-kemasan kecil di atas padang serta obsesi ketua jurulatih moden dalam mencari kesempurnaan, beberapa jawatan di pusat latihan diwujudkan. Kadang kala, penyokong sendiri kurang tahu mengenai jawatan-jawatan ini. Ayuh kita semak beberapa jawatan di kelab Premier League yang mungkin belum pernah kita ketahui sebelum ini.


Jurulatih Pemain Pinjaman

Dengan kelab Premier League yang mendahului zaman dari segi teknologi kejurulatihan, tentunya banyak kelab Inggeris lain yang bermain di liga bawahan tidak mempu menandingi kecanggihan teknologi mereka. Dan untuk kelab yang mempunyai banyak pemain pinjaman di kelab bawahan, mereka tidak mahu perbezaan yang dialami pemain-pemain itu terlalu ketara. Dengan itu, jawatan staf khusus untuk memantau pemain pinjaman pun diwujudkan.

Antara tugas jurulatih tersebut ialah mendapatkan laporan pemain di setiap perlawanan dan bekerjasama dengan staf kejurulatihan kelab terbabit dalam menentukan perkembangan pemain. Chelsea bahkan mempunyai staf khusus yang ditempatkan secara kekal di Belanda memandangkan ramai pemain muda mereka dipinjamkan ke Eridivisie melalui kelab Vitesse Arnhem.


Jurulatih Lontaran Ke Dalam

Mungkin ramai yang bertanya “kenapa sampai perlu rekrut jurulatih lontaran ke dalam?” Inilah yang membezakan mentaliti kelab-kelab terbaik dunia dengan yang lain; penelitian khusus. Mereka tahu bahawa dalam satu perlawanan, sejumlah 40 hingga 60 lontaran ke dalam akan diambil. Jika perkara ini dimanfaatkan, pasukan akan mendapatkan keuntungan kolektif yang mudah.

Tanya saja pada Thomas Gronnemark, jurulatih yang turut serta dalam kejayaan Liverpool FC sejak 2018. Kegilaan Jurgen Klopp pada inovasi telah menyaksikan warga Jerman itu mendatangi Gronnemark ke Melwood. Hasilnya? Lihat saja gol saat akhir menentang Wolves hasil dari situasi lontaran ke dalam yang jelas mempunyai koreografi tersendiri sebelum menghasilkan jaringan yang penting untuk Liverpool merajai Premier League.







Pakar Anti-Keganasan

Masih ingatkah anda akan perlawanan Man United menentang Bournemouth yang terpaksa ditangguhkan lima tahun lalu? Ada dakwaan yang bom telah dijumpai di dalam stadium dan hasil penelitian, ia adalah dakwaan palsu. Dari sudut bola sepak, ia telah merencatkan rencana Man United yang ketika itu dalam persiapan menghadapi final Piala FA.

United memutuskan untuk merekrut pakar anti-keganasan untuk mengawal selia stadium di setiap hari perlawanan. Pasukan ini akan memastikan keselamatan penyokong, pemain dan semua yang terlibat melalui kepakaran mereka menghidu, mencari dan menghentikan sebarang aksi keganasan. Namun ia juga dilihat sebagai satu perkara yang hanya boleh dilakukan kelab-kelab kaya sahaja oleh kerana kosnya yang terlalu tinggi.

***

Adanya jawatan-jawatan ini, ia menjukkan keseriusan kelab Eropah untuk bersaing. Bola sepak tanpa saingan hanyalah sebuah perlawanan persahabatan yang mungkin tidak menyelerakan langsung untuk kita tonton. Harapan kita bukanlah untuk pasukan tempatan mendapatkan seorang jurulatih regangan tangan yang khusus, cukup hanya serius dalam membangun bola sepak tempatan. Untuk sekarang, mungkin itu saja sudah cukup.