Pertahanan West Ham, Angelo Ogbonna, mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) sewaktu pasukannya menewaskan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.

Bekas pertahanan tengah Juventus itu mengalami kecederaan berkenaan ketika skuad bimbingan David Moyes itu mencipta kejutan menumbangkan The Reds 3-2 di Stadium London.

Ogbonna menjalani ujian imbasan semalam dan sudahpun memulakan proses pemulihannya, pada ketika The Hammers masih menantikan jangkaan masa untuk tonggak pertahanan mereka itu direhatkan.

Ketua Bahagian Perubatan West Ham, Richard Collinge, berkata: "Selepas dikeluarkan berikutan insiden berbeza yang menyaksikan dia mengalami luka di bawah matanya, Angelo kemudian berasakan ketidakselesaan di bahagian lututnya, jadi kami melakukan imbasan terhadapnya untuk menilai tahap kecederaannya.

"Hasil imbasan itu mendapati terdapat kerosakan ACL dan kami telah memulakan proses pemulihannya secepat mungkin.

"Angelo akan berjumpa seorang lagi doktor pakar minggu ini dan kami kemudian akan mendapat gambaran jelas mengenai tempoh pemulihannya."

Ogbonna mempamerkan mutu pertahanan mantap sejak digandingkan dengan Kurt Zouma musim ini.

The Hammers kini menduduki tangga ketiga EPL dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Chelsea, dan sedang di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan 16 Liga Europa.