Erik ten Hag memberi amaran kepada Manchester United bahawa mereka harus mengatasi kelekaan di barisan pertahanan selepas tewas 2-3 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

Setiap gol Arsenal dalam pertembungan menarik awal pagi tadi berpunca daripada kesilapan pertahanan tatkala barisan pelawat gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

The Gunners memanfaatkan usaha United untuk mula mengatur permainan dari belakang dan ia membawa kepada gol kemenangan Eddie Nketiah.

United kini di tangga keempat dan ketinggalan 11 mata di belakang seteru dari London itu yang terus menyalakan harapan untuk memburu kejuaraan.

United yang dalam kemuncak prestasi mungkin masih jauh daripada angan-angan untuk menjulang trofi, tetapi dua percubaan terakhir yang menyebabkan mereka dibolosi di London dalam tempoh lima hari memberi satu tamparan realiti terhadap persembahan mereka.



United melepaskan gol pada masa kecederaan di Crystal Palace, Khamis lalu, untuk terikat 1-1, manakala kekalahan di Stadium Emirates menambah lagi duka mereka.

“Saya rasa dalam dua perlawanan berturut-turut yang sangat dekat ini, adalah sukar untuk akur bahawa pada akhirnya kami tewas di peringkat akhir permainan,” kata Ten Hag.






"Ia tidak boleh berlaku dan kami perlu menelan hakikat ini, kami perlu ambilnya sebagai pengajaran. Ketiga-tiga gol yang dilepaskan, kami sepatutnya mampu mengelaknya. Kebiasaannya kami lebih baik dalam situasi sedemikian."

Pengurus United itu turut memberitahu Sky Sports bahawa dia tidak berasakan tekanan lewat Arsenal menyebabkan gawang mereka lebih terdedah untuk dirobek buat kali ketiga.

"Saya tidak fikir begitu. Kami bagus dalam situasi sedemikian dan kesilapan yang kami lakukan sukar diterima, ia agak jelas," katanya lagi.

"Kami perlu bertahan dengan lebih baik dalam situasi itu. Kami silap dalam membuat keputusan dan bukan seorang pemain sahaja. Kemudian kami melepaskan satu gol lagi dan apa yang saya mahu katakan, kami sepatutnya dapat mengelaknya sama seperti dua gol awal."

United mencecah kebuntuan perlawanan menerusi Marcus Rashford dan kemudian menyamakan kedudukan dengan tandukan Lisandro Martinez, selepas Nketiah dan Bukayo Saka meletakkan The Gunners menerajui perlawanan.

"Kami memulakan permainan dengan baik dan menjaringkan gol dan mendahului, kemudian melakukan kesilapan yang tidak boleh diterima," tambahnya.

“Kami perlu mengutip pelajaran ini dan teruskan perjuangan.

"Saya akan bersemuka dengan pemain kerana ia tidak sepatutnya berlaku. Pemain yang bagus tidak melakukan kesilapan seperti itu."