Bayern Munich mendedahkan bahawa pertahannya, Josip Stanisic, positif virus COVID-19.

Pasukan juara Bundesliga itu mengesahkan malam tadi bahawa Stanisic, yang telah lengkap vaksinasi, telah diasingkan di rumah tetapi berasa sihat.

Stanisic dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Croatia menewaskan Russia 1-0 dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia hujung minggu lalu.

Selain pemain itu, dua lagi staf Bayern turut dilaporkan dijangkiti virus berkenaan.

Rakan sepasukan Stanisic, Niklas Sule, digugurkan skuad Jerman daripada perlawanan menentang Liechtenstein dan Armenia selepas diuji positif virus itu.

Joshua Kimmich, yang mengesahkan kepada umum bahawa dia masih belum mendapatkan sebarang dos vaksin koronavirus, turut menjalani pengasingan bersama Serge Gnabry dan Jamal Musiala kerana menjadi kontak rapat Sule.

Pasukan gergasi Bavarian itu akan kembali beraksi dalam Bundesliga dengan berkunjung ke laman Augsburg awal pagi Sabtu ini.