SEPANYOL 4 LITHUANIA 0

Skuad remaja Sepanyol tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan mudah 4-0 ke atas Lithuania awal pagi tadi dengan pasukan B-21 itu terpaksa diturunkan selepas skuad senior mereka terpaksa diasingkan berikutan penularan koronavirus.

Menjelang perlawanan yang sepatutnya menjadi aksi pemanas badan terakhir mereka sebelum Euro 2020 minggu depan, ketua pasukan, Sergio Busquets, didapati positif COVID-19 pada hujung minggu lalu sebelum pertahanan tengah, Diego Llorente, turut disahkan dijangkiti virus sama dan memaksa Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) menurunkan skuad B-21 mereka dalam aksi persahabatan itu.

La Rojita, bagaimanapun, memanfaatkan peluang itu untuk mencuri tumpuan dan membuka jaringan seawal minit ketiga apabila Hugo Guillamon merembat kencang hantaran lintang rendah Manu Garcia.

Kedudukan menjadi 2-0 sebelum setengah jam permainan apabila percubahan Brahim Diaz, yang tidak dikawal dalam kawasan penalti, menerjah jaring susulan satu hantaran baik daripada Gonzalo Villar.

Lithuania bernasib baik untuk tidak dibolosi lebih banyak sebelum waktu rehat, di mana penjaga gol, Tomas Svedkauskas, menyelamatkan sepakan penalti Abel Ruiz susulan insiden Markas Beneta menjatuhkan Bryan Gil.

Pemain yang dimasukkan selepas waktu rehat, Juan Miranda, hanya memerlukan tujuh minit untuk mencatatkan nama selaku penjaring, di mana pertahanan kiri Real Betis itu memanfaatkan sepakan percuma untuk menewaskan Svedkauskas.

Seorang lagi pemain gantian, Javi Puado, melengkapkan kemenangan 4-0 Sepanyol pada 18 minit terakhir apabila mempamerkan kawalan bola menarik sebelum meledakkan rembatan ke gawang Lithuania.