AMERIKA SYARIKAT 3 MAGHRIBI 0

Amerika Syarikat (AS) meneruskan persediaan terbaik menjelang Piala Dunia Qatar 2022 dengan menewaskan Maghribi 3-0 dalam aksi persahabatan di Cincinnati hari ini.

Kedua-dua pasukan saling bertukar penguasaan sepanjang perlawanan tetapi kerap membazirkan peluang di depan gawang.

Apa yang menjadi pemisah dalam perlawanan itu adalah USMNT kelihatan lebih klinikal dalam memanfaatkan peluang, bermula dengan jaringan Brenden Aaronson pada minit ke-26 sebelum Timothy Weah menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-32.

Pemain sayap Chelsea, Christian Pulisic, mencetuskan peralihan terbaik dalam perlawanan itu dengan mengawal dengan penuh bergaya satu lambungan jauh sebelum melakukan hantaran ke belakang untuk disudahkan Aaronson.

AS kemudian menjadikan kedudukan 2-0 berselang enam minit apabila Weah memanfaatkan bantuan Reggie Cannon sebelum Haji Wright melengkapkan keputusan perlawanan menerusi sepakan penalti pada minit ke-64.

Walaupun mempamerkan aksi lebih baik dalam babak kedua, Maghribi masih gagal memecahkan keampuhan pertahanan tuan rumah, terutama menerusi sepakan penalti Selim Amallah yang tekena tiang gol pada minit ke-75.