PERANCIS 3 WALES 0

Karim Benzema gagal menyudahkan sepakan penalti dan melakukan percubaan yang terkena tiang dalam kepulangannya bersama skuad kebangsaan Perancis tetapi Pasukan tuan rumah itu memanfaatkan kad merah buat Neco Williams untuk menang 3-0 ke atas Wales dalam aksi persahabatan di Allianz Riviera awal pagi tadi.

Penyerang Real Madrid, Benzema, melakukan penampilan antarabangsa pertamanya sejak Oktober 2015 dalam kesebelasan yang dipenuhi pemain bintang, termasuk Antoine Griezmann dan Kylian Mbappe, yang kedua-duanya menemui sasaran.

Mbappe membuka jaringan dari jarak dekat, tidak lama selepas sepakan penalti Benzema diselamatkan Danny Ward susulan insiden bola terkena tangan Williams -- kesalahan yang turut menyaksikan pemain muda Liverpool itu dibuang padang selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Seorang lagi penyerang, Griezmann, kemudian menggandakan jaringan Perancis pada awal babak kedua sebelum pemain gantian, Ousmane Dembele, menambah gol ketiga tuan rumah untuk pasukan juara dunia itu memperoleh kemenangan dalam perlawanan kedua terakhir menjelang Euro 2020.