Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue, menganggap peluang untuk berada di bawah bimbingan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, sebagai pengalaman paling berharga sepanjang kariernya di Malaysia.

Tambah penyerang itu, ia menjadi impian mana-mana pemain untuk diturunkan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 menentang Turkmenistan pada Khamis ini dan dirinya juga tidak terkecuali.

Kapten Kuala Lumpur City itu, yang sedang bersama 26 pemain lain dalam kem latihan pusat di Johor Bahru ketika ini, berkata: "Ia bergantung kepada pilihan jurulatih.

"Jika dia mahu menyenaraikan saya dalam kesebelasan utama, dimasukkan dalam babak kedua atau bila-bila masa dia mahu saya bermain, saya hanya mahu mencuba memberikan yang terbaik.

"Jika ada peluang untuk melakukan percubaan, saya akan melakukan percubaan dan jika ada peluang untuk menjaringkan gol, melakukan bantuan jaringan atau mengejar lawan, saya mahu berada di sana untuk membantu pasukan ini dan itulah perkara utama," katanya.