MALAYSIA 1 UZBEKISTAN 5

Skuad bola sepak senior negara tidak dapat memberikan saingan sebelum akur tewas 1-5 kepada Uzbekistan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Amman, Jordan sebentar tadi.

Jaringan berganda Dostonbek Khamdamov selain satu lagi gol daripada Khusain Norchaev memberikan Uzbekistan kelebihan selesa dalam babak pertama sebelum Baddrol Bakhtiar merapatkan jurang menuju ke bilik persalinan.

Ibrahimkhalil Yuldoshev dan Azizbek Amanov kemudian menambah derita pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu untuk akur sekali lagi tewas dengan perbezaan empat gol selepas turut tumpas 0-4 kepada Jordan dalam aksi terdahulu, awal pagi Rabu lalu.

Berdepan lawan di ranking ke-84 dunia itu, Chong Hoe membariskan kesebelasan utama 100 peratus tanpa pemain naturalisasi dengan Lukman Hakim Shamsudin diletakkan selaku penggempur utama bagi menggantikan Guilherme De Paula tetapi Malaysia dibolosi seawal minit ke-17 apabila Khamdamov memanfaatkan kealpaan pertahanan negara di depan gawang sebelum menggandakan jaringannya berselang 12 minit, kali ini dengan menanduk masuk lambungan lintang rakan sepasukannya.

Gawang Malaysia, yang dikawal penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat, bocor lagi pada minit ke-33 apabila Norchaev menanduk masuk gol antarabangsa pertamanya.

Malaysia merapatkan jurang dalam masa kecederaan babak pertama, dimana Baddrol Bakhtiar merembat masuk bola muntah susulan percubaan awal Faisal Halim.

Harapan untuk Harimau Malaya melakar kebangkitan dalam babak kedua ternyata tidak kesampaian apabila Yuldoshev dan Amanov menambah dua lagi gol buat Uzbekistan, masing-masing pada minit ke-68 dan 88.



Kredit foto: FAM