KOREA SELATAN 1 BRAZIL 5

Neymar menjaringkan dua gol sepakan penalti untuk Brazil menewaskan Korea Selatan 5-1 dalam aksi persahabatan penuh menghiburkan di Seoul malam tadi.

Bintang Korea Selatan, Son Heung-min, sebelum ini menggesa rakan sepasukannya untuk tidak berasa takut berdepan pasukan terbaik dunia dalam aksi antarabangsa tetapi mereka jelas tidak dapat menandingi Brazil kendalian Tite.

Gol pembukaan Richarlison meletakkan Brazil di depan seawal minit ketujuh dan walaupun tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi jaringan Hwang Ui-jo pada minit ke-31, Brazil meneruskan penguasaan mereka untuk menjaringkan lebih banyak gol.

Alex Sandro terbukti menjadi pencetus untuk meletakkan Brazil kembali di depan dengan memenangi dua sepakan penalti dalam babak berbeza, yang kemudian disemnpurnakan Neymar, masing-masing pada minit ke-42 dan 57.

Pemain gantian, Phillipe Coutinho dan Gabriel Jesus, melengkapkan pesta gol Brazil menerusi penyudah masing-masing pada minit ke-80 dan 93.

Brazil akan kekal di rantau Asia untuk beberapa hari ini menjelang satu lagi aksi persahabatan menentang Jepun di Tokyo, Selasa ini.