NAPOLI 2 JUVENTUS 1

Massimiliano Allegri percaya pasukan kendaliannya, Juventus, akan mengubah nasib mereka dan bersaing merebut gelaran Serie A musim ini selepas tewas 1-2 di tangan Napoli awal pagi tadi.

Permulaan perlahan Juve dalam era kedua di bawah kendalian Allegri berterusan di Stadio Diego Armando Maradona, di mana gol daripada Matteo Politano dan Kalidou Koulibaly memastikan kebangkitan Napoli.

Bianconeri, yang mendahului hasil jaringan Alvaro Morata pada minit ke-10, kini gagal merekodkan sebarang kemenangan sepanjang tiga perlawanan liga pertama musim ini -- kali kedua berlaku sepanjang 52 musim Serie A.

Selepas hanya meraih satu mata daripada tiga perlawanan pertama musim 2021-22, pemenang Scudetto enam kali, Allegri, yakin pasukannya akan berkembang menjadi lebih kuat.

"Saya mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap pasukan ini. Saya tahu mereka akan memanfaatkan kekalalahan ini. Pasukan ini ditakdirkan untuk berkembang hasil daripada tekanan ini.

"Kekalahan hari ini amat berbeza dan kami perlu segera melupakannya," katanya.

Selepas memanfaatkan kesilapan Kostas Manolas untuk menjaringkan gol pendahuluan di Naples, Juve sendiri memberikan ruang buat lawan mereka -- yang memenangi kesemua tiga perlawanan pertama -- untuk menjaringkan dua gol.

Wojciech Szczesny menepis percubaan Lorenzo Insigne ke arah Politano untuk pemain itu menyamakan kedudukan buat Napoli dan tandukan lemah Moise Kean pula menuju ke arah Koulibaly, yang memanfaatkannya untuk menjaringkan gol kemenangan.

Ia merupakan kali pertama sejak Mac 2010 Napoli berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Juve dalam perlawanan liga dan Allegri mengakui pasukannya tidak cukup bagus.

"Saya menggemari perwatakan pasukan kami dalam babak pertama tetapi dalam babak kedua, Napoli mempunyai kelebihan. Adakalanya anda perlu menanggung padah daripada kesilapan individu.

"Daripada sudut pandang teknikal, kami sepatutnya melakukannya dengan lebih baik. Kami masih belum menang tetapi kami kini sudah mula memikirkan perlawanan seterusnya dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL)," katanya.

Juventus seterusnya akan bertemu Malmo dalam UCL awal pagi Rabu ini.