Setelah menunjukkan aksi yang berkualiti tinggi serta semangat juang yang tidak pernah putus asa untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia, nasib masih tidak menyebelahi pemain muda negara apabila tewas tipis di tangan juara bertahan temasya Sukan SEA , Vietnam.

Kekalahan 1-2 malam tadi menyebabkan anak didik E. Elavarasan terbabit tidak dapat menempatkan diri mereka ke peringkat separuh akhir dalam edisi di Kemboja walaupun berbaki satu lagi perlawanan di peringkat Kumpulan B menentang Singapura B-22, Khamis ini.

Kekalahan ini sudah pasti akan memberi tekanan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana gagal mengutip pingat emas yang sudah lebih sedekad dimenangi Harimau Muda di mana kali terakhir di kalung pada skuad muda negara di Jakarta pada 2011 selepas menewaskan tuan rumah, Indonesia.

Ini perlu dibuat kaji selidik secara menyeluruh oleh pengurusan skuad kebangsaan tentang kegagalan skuad kendalian Elavarasan yang tidak melepasi sasaran dan prestasi serta kualiti pemain-pemain bermain di peringkat antarabangsa.




Apakah ini ada kaitan dengan jumlah perlawanan di peringkat pembangunan dalam liga kita.

Jika diperhatikan memang perlawanan dalam liga kita terutama di peringkat pembangunan memang tidak pernah mencukupi.

Jika ingin melahirkan pemain berkualiti tinggi kerana setakat ini di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi hanya bermain secara karnival dan liga pembangunan anjuran FAM pula kurang jumlah perlawanan seperti Piala Belia hanya enam perlawanan yang dilalui setiap pasukan dalam kumpulan.

Dengan jumlah itu, ia sebenarnya memang agak sukar untuk Malaysia melahirkan pemain muda yang berkualiti kerana untuk melahirkan pemain muda yang berkualiti memerlukan liga yang kompetatif dengan jumlah perlawanan sekurang-sekurangnya 20 perlawanan yang di tempoh.




Inilah yang dihadapi oleh pemain-pemain skuad Harimau Muda negara sebelum mereka menyiapkan diri dalam Sukan SEA.

Selain itu, bahagian teknikal FAM perlu juga membantu untuk mengatasi permasalahan ini.

Jika diikutkan pemain-pemain Harimau Muda kita mempunyai kualiti mereka sendiri terutama daripada segi teknikal dan fizikal, malah darjah kecerdasan minda dalam perlawanan amat baik sekali.

Apabila masalah jumlah perlawanan kompetitif ditingkatkan, langkah ini pasti dapat membantu jurulatih-jurulatih tempatan terutama menyediakan pemain yang berkualiti untuk dibekalkan kepada skuad muda negara.

Bagi Elavarasan dan pasukan kejurulatihannya perlu bertanggungjawab atas kegagalan ini dan perlu menilai prestasi sendiri, apakah mereka berjaya membentuk skuad yang kreatif dengan identiti bola sepak Malaysia sebagaimana ketika Peta Halatuju Bolasepak Malaysia (F:30) dilancarkan FAM?