EMPOLI 2 AC MILAN 4

Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli, percaya perebutan Scudetto musim ini masih terbuka luas walaupun Inter Milan menamatkan tahun 2021 selaku 'Juara Musim Sejuk' Serie A.

Inter kini berkelebihan empat mata di puncak liga dalam misi mempertahankan kejuaraan mereka selepas merampasnya daripada Juventus musim lalu.

Pasukan bimbingan Pioli, Milan, memanfaatkan kekalahan 0-1 Napoli kepada Spezia untuk melonjak ke tangga kedua selepas menewaskan Empoli 4-2 di Stadio Carlo Castellani awal pagi tadi.

Dengan saingan Serie A akan berehat selama dua minggu bagi meraikan tempoh perayaan di Eropah, Pioli melihat tiada sebab untuk Inter tidak dipintas.

"Kami merupakan Juara Musim Sejum musim lalu tetapi kami tidak menang Scudetto, jadi ia masih terbuka luas," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Objektifnya adalah untuk terus meningkat. Kami memperoleh 66 mata dalam musim pertama, 79 mata dalam musim kedua, sasaran saya adalah untuk melakukan sesuatu yang lebih baik.

"Kami melalui pertengahan musim ini dengan kekurangan satu mata berbanding musim lalu tetapi saya kekal percaya bahawa kami boleh menamatkannya dengan lebih baik.

"Saya sentiasa katakan bahawa ia merupakan satu kelebihan dengan jangkaan tinggi yang diletakkan buat kami kerana ia bermakna kami memperoleh tekanan itu.

"Saya mahu berterima kasih kepada penyokong kami dan mengucapkan Selamat Hari Natal buat mereka kerana mereka menyokong kami dengan semangat yang luar buasa.

"Kami berharap dapat melakukan yang lebih baik pada 2022," katanya.

Kemenangan Milan, yang menyaksikan Franck Kessi menjaringkan dua gol serta masing-masing satu daripada Alessandro Florenzi dan Theo Hernandez, menjadi respons terbaik selepas mereka tewas 0-1 kepada Napoli dalam perlawanan sebelumnya.

"Kami bertemu lawan yang amat sukar tetapi memberikan reaksi dengan perwatakan dan keazaman.

"Saya sentiasa mahu bermain dengan lebih baik berbanding pihak lawan tetapi hari ini, matanya merupakan perkara paling penting.

"Kami tidak mendapatkan beberapa keputusan yang baik walaupun saya percaya kami tidak sepatutnya tewas kepada Napoli dan memerlukan lonjakan ini.

"Kini, kami dapat berehat dengan tenang dan bersiap sedia untuk menghadapi Januari yang mencabar," tambahnya.